Monday, August 31, 2009

hadiah merdeka : harga minyak naik mulai esok

Harga petrol naik esok
Ogos 31, 09 6:55pm
Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga petrol RON97 daripada RM1.80 kepada RM2.05 mulai esok.

Manakala harga petrol RON95 yang dilancarkan hari ini - bagi menggantikan RON92 - dijual pada harga RM1.80 seliter.

Kerajaan sebelum ini telah menyatakan bahawa harga petrol akan dinaikan pada 1 September.

Mei lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga petrol gred premium RON97 akan naik 20 sen kepada RM2 seliter, manakala petrol gred rendah RON95 akan dijual pada harga RM1.75 seliter.

Bagaimanapun, kerajaan telah menambah lima sen lagi bagi harga kedua-dua gred tersebut.

Hari ini, Ismail yang melancarkan petrol RON95 berkata, harga RON95 terpaksa dinaikkan lima sen berbanding RM1.75 seliter seperti yang diumumkan Mei lalu kerana harga pasaran minyak dunia yang berubah kini.

"Bagaimanapun harga ini adalah sama dengan harga minyak yang biasa dipakai pengguna sekarang iaitu RON97 (RM1.80 seliter).

"Sepatutnya harga RON95 jika mengikut pasaran dunia ialah RM1.89 seliter, tetapi kerajaan tak mahu rakyat rasa ada kenaikan jadi ditetapkan kepada RM1.80 sahaja," katanya, lapor Bernama.

Ismail Sabri berkata kerajaan menganggar akan dapat mengurangkan tanggungan subsidi sebanyak RM420 juta setahun dengan pelaksanaan RON95 memandangkan harga subsidinya lebih rendah iaitu 38.81 sen seliter berbanding subsidi RON97 sebelum ini iaitu 42.72 sen seliter.

Menurutnya lagi, petrol RON97 pula masih dikekalkan dalam pasaran sebagai produk premium memandangkan ada kenderaan yang memerlukannya terutama kenderaan berkuasa tinggi.

Monday, August 3, 2009

Hukum Bersalam Lelaki Dengan Wanita Ajnabiyah Yang bukan Muhrim

Hukum Bersalam Lelaki Dengan Wanita Ajnabiyah Yang bukan Muhrim

Ramai dikalangan pengaku ustaz apabila terbersalam dengan wanita di hadapan khalayak ramai, kemudian ditanya bukankah bersalam dengan mereka itu haram? cepat-cepat dia akan menjawab.."alaa boleh dalam mazhab lain" atau "ada ulama kata boleh" atau "untuk tidak mengaibkan dan tidak memalukan perempuan itu maka boleh bersalaman" dan sebagainya dari puluhan alasan lagi yg hakikatnya tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah langsung. Amat malang mereka itu sering pula melaungkan Sunnah! Ittiba'us Sunnah dan pelbagai lagi men-declare diri sebagai pengikut Sunnah Nabi. Sedangkan Nabi tidak pernah bersalaman dengan wanita ajnabiyah bukan muhrim bahkan dalil sunnah menunjukkan ia haram.

APA DALIL BERSALAMAN LELAKI-WANITA ITU HARAM?

Kita dalam membicarakan hukum bersalam ini antara lelaki yang sudah dewasa dengan wanita bukan muhrim yang sudah dewasa bukan dan tidak membicara hukum bersalaman dengan wanita tua sesangat atau budak perempuan yang masih kecil. Perlu diberi perhatian.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatuna Aisyah mengenai bai'ah yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap beberapa orang perempuan, Aisyah berkata: " Demi Allah, tangan baginda tidak menyentuh seorang perempuan pun dalam pembai'atan itu. Baginda hanya membai'ah mereka dengan perkataannya: "Benar-benar telah aku bai'ah kamu atas hal itu." (Riwayat Bukhari)

Hadith di atas amat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah tidak bersalaman dengan wanita bukan muhrim walaupun mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Rasulullah, rasulullah tidak menyambut mereka dengan bersalaman tetapi Rasulullah bersalam pula dengan lelaki iaitu para sahabat lelaki yang membai'ah baginda dengan cara bersalaman.

Dari ini membuktikan sunnah Rasulullah sekiranya berlaku pada kita wanita yang bukan muhrim menghulur tangan untuk bersalaman dengan kita atau lelaki bukan muhrim menghulur tangan kepada wanita itu bersalaman maka sunnah dan terbaiknya adalah kita TIDAK menyambut dengan bersalaman tetapi dengan memberi isyarat lain atau mengucapkan salam atau selamat kepadanya sahaja tanpa bersalam.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari berkata: "Maksud ucapan Rasulullah: "Benar-benar telah bai'ah kamu dengan ucapan." Adalah ucapan tanpa berjabat tangan sepertimana yang biasa terjadi, di mana lelaki berjabat tangan sewaktu bai'ah dijalankan.

Dari Abdullah bin Amr bin al-Asr. berkata: "Rasulullah tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan dalam pembai'atan." (Riwayat Imam Ahmad)

Dalil kedua,Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan. Ucapanku kepada seorang perempuan seperti kataku pada seratus perempuan.”(HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa’i)

Dari Ma’qil bin Yasaar katanya, “Rasulullah telah bersabda: “Sesungguhnya jika dicerca kepala salah seorang dari kamu dengan alat dari besi adalah masih lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahramnya).” (HR At-Thabrani & al-Baihaqi, sahih).

Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah bersabda: “Sudah ditakdirkan bagi anak cucu Adam bagian dari zina yang pasti akan menimpanya. Kedua mata, zinanya ialah memandang; zina dua telinga ialah mendengar; zina lisan ialah ucapan; zina tangan ialah menyentuh; zina kaki ialah melangkah; zina hati ialah menginginkan sesuatu, berangan-angan dan farajnya membenarkan atau mendustakannya.”

Rasulullah juga bersabda: “Tidak pernah aku menyentuh tangan perempuan (ajnabi/bukan mahram)” (HR At-Thabrani, dari Uqailah binti Ubaid).Dalil-dalil di atas amat menunjukkan pengharaman bersalam lelaki dengan wanita yang bukan muhrim.

BENARKAH DISANA ADA DALIL MENGHARUSKAN PERSALAMAN LELAKI-PEREMPUAN?

Mereka yang beria-ia sangat mempertahankan hukum bersalaman lelaki-wanita sering mengunakan hujjah yang mereka sendiri palsukan. Mereka mempergunakan beberapa hadith yang menyebut nabi memberi salam kepada sahabiyah. Amat malang hadith tersebut terang-terang menunjukkan nabi memberi salam dan BUKAN BERSALAMAN dengan wanita. Ya, dalam islam diharuskan kita memberi salam kepada muslimah dan DIHARAMKAN kita bersalaman dengan wanita.

Hakikatnya tiada langsung dalil yang mengharuskan hukum bersalaman lelaki dengan wanita ajnabiyah yang bukan muhrim ini bahkan Rasulullah sebagai ikutan kita tidak pernah melakukannya. Amat sedih golongan pengaku sebagai pengikut Sunnah tidak menghidupkan sunnah Nabi, Nabi tidak bersalaman dengan wanita bukan muhrim.

Amat sedih lagi mereka itu mengharamkan bersalaman antara lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita selepas solat berjemaah kononnya atas dasar bid'ah masuk neraka tetapi MENGHALALKAN pula persalaman antara wanita dengan lelaki dan lelaki dengan wanita. Ini membuktikan dakwaan mereka sebagai Salafi, Ittiba'us Sunnah dan lain2 lagi hakikatnya adalah tipu helah pengkhianat Sunnah sebenar!!!.

KALAU WANITA TU HULUR TANGAN DAHULU KITA BOLEH SAMBUT?

Jawapanya sudah pasti tidak boleh, haram hukumnya walaupun wanita ajnabiyah itu menghulurkan tangan untuk bersalam dengan kita dihadapan khalayak ramai sekali pun, haram bagi wanita itu dan haram bagi lelaki menyambut tangannya untuk bersalam, samaada tanpa bersyahwat atau tidak, terselamat dari fitnah atau tidak ianya adalah tetap HARAM.

Soalan ku lontarkan kepada pemuka sunnah yang palsu. Nabi bersalaman (berjabat tangan) dengan perempuan yang bukan muhrim ke tidak?!
Ketahuilah bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan.” (HR Ibnu Hibban, Malik & Nasa’i)

Mana laungan sunnah kamu semua?! kamu sanggup bertasamuh dan bertolak ansur dalam isu persalaman wanita-lelaki dan perkara lain yang sejalan dengan hawa nafsu kamu tetapi pada masa yang sama kamu kafirkan orang buat maulid dan menetapkan mereka ahli bid'ah masuk neraka!
Kamu marah orang berzikir nama Allah beramai-ramai pada masa yang sama kamu biarkan tarian bogel beramai-ramai dari kalangan 'anak'anak' kamu sendiri!

Wallahi! dakwaan kamu kononnya bersalaman lelaki dengan wanita ajnabiyah bukan muhrim ini harus merupakan kepalsuan yang tidak berdalil dan tidak berfakta!

NASIHAT
Berikan dan sampaikan salam, jawab salam, bersalamanlah diantara yang halal bukan yang haram. Sesungguhnya bersalaman lelaki dengan perempuan itu adalah haram...

sumber : mksuzana’s blog

Sunday, August 2, 2009

Anwar, Hadi dicari polis kes sertai demo anti-ISA


Lihat GALERI FOTO DEMONSTRASI

kemaskini 11.59pm
Polis ingin menyiasat 11 individu termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perhimpunan 20,000 orang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur sepanjang petang ini.

Selain tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh, pemimpin kanan lain dalam Pakatan Rakyat yang akan turut disiasat:

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar;
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali,
Ahli parlimen PKR Batu, Tian Chua;
Ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Sabu;
ahli parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution Ismail;
Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.

NONEKetua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhamad Sabtu Osman dipetik berkata siasatan itu kerana mereka hadir dan berucap di depan ibu pejabat PAS sebelum demonstrasi besar itu bersurai kira-kira 4 petang ini.

Dalam perkembangan sehingga jam 11 malam ini, polis Kuala Lumpur mengeluarkan angka tangkapan terbaru: 589 orang termasuk 44 remaja bawah umur 18 tahun 40 wanita ditangkap bagi siasatan menurut Akta Polis 1967.

"Daripada jumlah itu, 27 orang adalah pelajar, yang mana 20 orang terdiri daripada pelajar berumur 17 tahun ke bawah manakala bakinya adalah pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berumur lingkungan 18 hingga 23 tahun," Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dipetik berkata.

Setakat 6 petang tadi, Muhamad Sabtu memberitahu Malaysiakini bahawa seramai 438 orang ditahan sejak 7 pagi, termasuk 37 wanita dan 38 kanak-kanak.

Semuanya kecuali tiga orang berbangsa Melayu.

Antara tokoh utama pembangkang yang ditahan: Naib Presiden PKR Sivara Rasiah dan ahli jawatankuasa pusat PAS Mujahid Yusuf Rawa.

NONESivarasa ditahan dekat kompleks membeli-belah Sogo kira-kira jam 3.15 petang, manakala tempat dan masa tahanan Mujahid tidak dapat dipastikan.

Sewaktu dihubung lewat petang tadi, Kamaruzaman yang juga timbalan pengerusi Himpunan MANSUH berkata mereka belum mendapat maklumat lanjut, setakat ini.

Penunjuk perasaan anti-ISA dipercayai dibawa ke beberapa balai polis tempat, antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Jalil dan IPD Cheras.

Sementara dua penggerak utama GMI - penganjur perhimpunan hari ini yang dibuat bersempena ulang tahun ke-49 pelaksanaan akta kontroversi itu - ditahan menjelang pukul 1 tengah hari dekat Sogo dalam percubaan mereka berarak ke Istana Negara mulai 2 petang.

Dua anggota jawatankuasa GMI Norlaila Othman dan Narshita Mohd Nor ditahan bersama pemimpin Muslimat PAS Aiman Athirah al-Jundi.

Mereka dibawa di dalam sebuah trak dari kompleks membeli-belah itu ke IPD Cheras.

Norlaila, ketika dalam tahanan, memberitahu Malaysiakini bahawa 18 tahanan wanita dibawa ke IPD Dang Wangi kira-kira jam 7 petang.

Rasuah RM20,000, SPRM tahan ADUN Terengganu

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM20,000.

ADUN berkenaan dipercayai menerima wang suapan terbabit bagi membolehkan sebuah syarikat mendapat projek lanskap di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Difahamkan, semasa ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kijal, dekat Kemaman, Terengganu, SPRM telah menemui wang tunai RM5,000 pada Adun berkenaan.

Ketika ditahan, ADUN berkenaan berada bersama rakannya dan difahamkan beliau telah dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan ADUN terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.